"Kenapa orang yang begitu baik tiba-tiba boleh menjadi ganas apabila
memegang stereng kereta?" Tanya seorang ahli kariah masjid ketika kami
sama-sama berehat selepas menunaikan solat Asar.
"Saya rasa bukan tiba-tiba sahaja mereka jadi ganas tetapi mereka
memang ganas sebelum memegang stereng kereta lagi," jawab saya
perlahan.
"Eh, kenapa awak kata begitu?"
"Jalan raya hanya menjadi sebab untuk mereka mengeluarkan warna mereka yang sebenar."
"Maksud awak 'true colour' mereka hanya keluar di jalan raya yakni ketika mereka memandu?"
"Ya. Sifat-sifat diri yang sebenar tidak terkeluar di tempat-tempat
lain mungkin kerana segan, takut, malu dan sebagainya. Di pejabat,
mungkin kerana ada bos atau ada orang lain yang disegani. Di rumah
kerana ada isteri. Begitu juga di tempat-tempat lain, ramai yang perlu
mengawal diri kerana ada kepentingan tertentu di hadapan orang
tertentu."
"Maksud awak?"
"Di tempat-tempat itu mereka terpaksa memendam rasa marah, menahan
rasa kecewa atau mengurung rasa dendam yang ada di dalam hati. "
"Rasa-rasa itulah yang kemudiannya mereka lepaskan apabila memandu di atas jalan raya?"
"Ya begitulah. Jalan raya menjadi tempat melepaskan segala rasa
tidak puas hati dalam realiti kehidupan sehari-hari. Hakikatnya jalan
raya telah menjadi tempat melampiaskan rasa marah, kecewa, dendam dan
lain-lain sifat mazmumah."
"Orang lain yang mereka marah, orang lain yang jadi sasarannya. Begitu?"
"Begitulah. Awak tahu tiga penyebab utama kemalangan di negara kita?"
"Memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah!"
"Memandu laju menunjukkan kurang sabar atau mungkin kerana ego.
Ingin menunjuk-nunjuk. Melanggar lampu isyarat tanda tidak menghormati
peraturan dan orang lain. Begitu juga dengan memotong dengan cara dan
di lorong yang salah. Tiga penyebab utama kemalangan hakikatnya
berpunca daripada sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri pengguna
jalan raya kita!"
"Tetapi ada juga orang yang baik terlibat dalam kemalangan, malah kemalangan maut," kilas teman saya perlahan.
"Itu sudah takdir. Kadang-kala, mereka hanya menjadi mangsa
kesalahan orang lain. Mereka memandu dengan baik dan berhemah, tetapi
apa boleh buat, orang lain yang melanggar mereka. Itu yang saya katakan
takdir. Itu luar usaha dan ikhtiar kita. "
"Mengapa saya lihat orang agama pun memandu laju, cuai dan melanggar lampu isyarat?"
Saya terdiam. Ya, dalam pengalaman sendiri pun ramai juga saya lihat
'orang agama' yang memandu secara berbahaya dan mementingkan diri.
Melihat saya diam, teman saya menyambung, "Mengapa? Orang agama pun
sarat sifat mazmumah? Mereka pun turut melepaskan rasa marah, ego dan
kecewa di atas jalan raya?"
Perlahan saya mengangguk.
"Mengapa?" dia terus mengasak.
"Orang agama belum tentu beragama," jawab saya pendek.
"Pelik itu. Orang agama tetapi tidak beragama."
"Maksud saya, ada orang yang latar belakang pendidikannya, atau
mungkin kerjayanya, atau mungkin juga gelarannya ustaz, tetapi
sayang,mereka tidak mengamalkan ajaran agama sepenuhnya termasuk ketika
memandu di atas jalan raya."
"Eh, takut ramai yang marah dan tersinggung dengan kata-kata awak itu nanti," katanya mengingatkan.
"Mengapa nak marah? Ini teguran yang benar buat kita semua. Ada
orang agama tetapi tidak beragama sepertimana ramai orang yang ada akal
tetapi tidak berakal."
"Maksud awak, orang agama yang tidak beragama sama seperti orang punya akal tetapi tidak berakal?"
Tanpa mengiakan atau menidakkan kata-katanya, saya menjelaskan:
"Agama mengajar kita supaya mematuhi syariat dan berakhlak walau di
mana sahaja. Bukan hanya di masjid, di pejabat atau di rumah, malah di
atas jalan raya ketika memandu. Ibadah bukan sahaja solat, puasa, zakat
tetapi memandu kenderaan juga boleh dikira ibadah sekiranya dibuat
dengan niat yang ikhlas dan mematuhi prinsip-prinsip sunnah Rasulullah
s.a.w."
"Memandu itu ibadah?"
"Ya. Bukankah Islam itu satu cara hidup. Ramai manusia zaman moden
ini lebih banyak menghabiskan masa seharian mereka di dalam kereta
berbanding tempat-tempat lain."
"Betul tu. Kekadang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas
berjam-jam lamanya. Traffic jam sudah menjadi sebahagian cara hidup
kita."
"Bayangkan jika berjam-jam itu tidak jadi ibadah, tentu rugi. Kita solat pun lebih kurang 7 – 10 minit sahaja."
"Jadi, kita beribadah bukan sahaja di masjid tetapi di jalan raya jugalah ya?"
Tidak perlu saya mengiakan, saya teruskan lagi.
"Ibadah yang baik ialah ibadah yang melimpah ruah manfaatnya kepada
orang lain. Sekiranya pemanduan kita jadi ibadah, insya-Allah ia akan
selamat dan menyelamatkan. Kita selamat dan pengguna jalan lain pun
selamat."
Kali ini dia pula terdiam. Berfikir mungkin.
"Tetapi kalau tidak jadi ibadah, buruk padahnya. Bukan sahaja kita yang terima mudarat malah memudaratkan orang lain. "
"Apa hukumnya memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong secara salah?"
"Saya bukan ustaz, apatah lagi seorang ulama' tetapi jika tindakan
itu memudaratkan diri sendiri dan orang lain tentulah dilarang atau
diharamkan oleh Islam. Bukankah Islam itu agama yang selamat dan
menyelamatkan?"
"Mengapa kemalangan boleh berlaku sedangkan sesetengah kita sudah
melakukan pelbagai usaha?" Tanya beliau mengalih arah perbualan.
"Usaha apa yang awak maksudkan?"
"Macam kawan rapat saya minggu lalu. Dia terlibat dalam kemalangan.
Agak parah juga. Setahu dan seingat saya, dia warak orangnya. Kalau
hendak bermusafir mesti didahului solat sunat musafir, doa naik
kenderaan dan pelbagai lagi bacaan ayat al-Quran."
"Itu aspek syariatullah. Tetapi cuba 'check' aspek sunnatullahnya," kata saya mengingatkan.
"Aspek syariatullah, sunnatullah? Apa itu?"
"Bacaan doa, solat musafir dan doa-doa yang lain itu aspek syariatullah. Manakala aspek sunnatullah
pula adalah seperti memastikan keadaan brek kenderaan dalam keadaan
baik, bunga tayar masih elok, cermin belakang dan sisi dalam kedudukan
yang sesuai, memakai tali pinggang keledar dan enjin kereta dalam
keadaan baik," jelas saya.
"Maksud awak kedua-dua itu hukum Allah juga?"
"Ya, syariatullah yang melibatkan hukum syariat yang lima; wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Manakala hukum sunnatullah pula melibatkan hukum sebab dan akibat yang telah Allah tetapkan untuk memastikan dunia ini dalam keadaan stabil dan baik."
"Saya masih tidak faham."
"Hukum sunnatullah itu seperti hukum graviti, hukum geseran dan
lain-lain hukum yang kita belajar dalam ilmu sains dan matematik itu.
Hukum ini tidak berubah dan bertukar ganti sifatnya. Ia tetap. Allah
menetapkannya demi keselamatan dan kestabilan alam ini. Jika dilanggar
buruk padahnya."
"Bagaimana semua itu terkait semasa kita memandu kenderaan?"
"Jika tayar botak, kenderaan mudah terbabas dan tergelincir. Ada
hukum geseran di situ. Begitu juga apabila tali pinggang keledar tidak
dipasang, momentum yang menghentak jisim kita ke hadapan akan lebih
kuat jika kereta bergerak dengan halaju yang tinggi."
"Orang agama perlu dengar fakta ini," bisiknya perlahan.
"Mematuhi hukum syariatullah dan sunnatullah itulah bukti kita
beragama semasa memandu di atas jalan raya. Tidak kiralah kita orang
agama, atau tidak. Asalkan kita orang Islam, kita wajar mematuhi
kedua-dua hukum Allah ini. "
"Jadi tidak cukup dengan mengamalkan doa naik kenderaan sahaja?"
"Ya, kalau hanya berdoa tetapi tidak menjaga aspek sunnatullah, itu
termasuk dalam tawakal yang tidak berbekal. Tetapi kalau hanya menjaga
aspek syariatullah, tetapi tidak berdoa dan meminta bantuan Allah, itu
sombong. Seolah-olah kita bertawakal kepada diri bukan kepada Allah. "
"Jadi melanggar hukum sunnatullah juga merupakan satu kederhakaan kepada Allah, bukan hanya melanggar hukum syariatullah?"
"Ya. Itulah yang dikatakan, kita beragama di atas jalan raya. Barulah jalan raya kita tidak menjadi jalan mazmumah."
"Ya, orang Islam perlu menjalani kehidupan berdasarkan aqidah,
syariah dan akhlak, setiap masa, setiap kita dan walau di mana-mana
sahaja. Siapa kita di atas jalan raya, menunjukkan siapa kita di jalan
hidup yang sebenarnya. Berhati-hati di jalan raya, ia boleh membawa
kita ke syurga ataupun neraka!"
- Artikel iluvislam.com
Minggu, 04 Desember 2011
Sosok Kita Terlihat di Jalan Raya
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar